KETUA jurulatih Tajikistan, Gela Shekiladze tidak mahu fikirkan mengenai kejuaraan yang perlu dipertahankan untuk Pestabola Merdeka kali ini.

Menurut pengendali dari Georgia itu, fokus beliau kini tertumpu dalam membina pasukan yang mantap untuk saingan kompetitif kelas tertinggi bola sepak, khususnya Piala Asia 2027.

“Kejohanan Pestabola Merdeka mempunyai banyak pasukan lawan yang kuat. Kejohanan seperti ini bagus untuk pemain saya terutama sekali pemain muda dan baru.

“Melalui kejohanan ini, pemain-pemain saya dapat merasai kejohanan yang mempunyai tahap bola sepak yang tinggi.

Pengendali Tajikistan, Gela Shekiladze

“Setiap minit, setiap hari, setiap minggu apabila kita bersama dalam pasukan kebangsaan, saya ingin cuba untuk membina falsafah bola sepak, cara kita bermain dan bagaimana hendak memenangi satu perlawanan itu,” katanya dalam sidang media.

Kapten pasukan Tajikistan, Parvizdzhon Umarbayev pula berkata perubahan jurulatih tidak menjadi masalah buat dirinya dan rakan-rakan lain untuk bermain.

“Tidak banyak perubahan yang berlaku kerana barisan kejurulatihan masih lagi sama dan pemain-pemain baru dalam pasukan juga tidak berhadapan dengan masalah.

“Saya sebagai pemain senior cuba untuk terangkan taktikal pasukan kepada mereka dan semuanya berjalan dengan lancar,” kata pemain FC CSKA 1948 Sofia itu.

Tajikistan akan bertemu pasukan Lubnan dalm aksi separuh akhir pertama Pestabola Merdeka esok jam 4.30 petang.