NUALPHAN Lamsan atau lebih mesra dengan panggilan Madame Pang bakal menggalas tanggungjawab lebih besar terhadap perkembangan bola sepak di Thailand selepas jutawan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Muang Thai Insurance itu telah dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).
Sumbangan besarnya buat bola sepak Thailand sejak 2008 sudah cukup meyakinkan sebahagian besar 73 perwakilan untuk memilihnya bagi menggantikan presiden terdahulu, Jeneral Somyot Poompanmoung yang memegang jawatan tersebut selama lapan tahun.
Menurut sumber di Thailand, Madame Pang mendapat 68 undian berbanding dua undian diterima Warong Witthaya manakala satu undi buat Thanasak Surprarasert dengan satu perwakilan memilih untuk tidak mengundi dan satu lagi undi rosak diterima.

Ianya adalah satu kemenangan yang cukup besar sekali gus menjadikannya sebagai wanita pertama memegang jawatan penting tersebut di peringkat Asia Tenggara.
Tugasan pertama yang perlu diselesaikan dengan segera oleh Madame Pang sebaik dia menggalas tanggungjawab tersebut adalah menyelesaikan pemilihan pemegang hak penyiaran bagi Thai League 1 kerana masih belum mempunyai pemegang hak penyiaran meskipun musim 2023/24 sudah memasuki pertengahan saingan.
Masalah ini berlaku selepas kontrak dua tahun yang dimiliki pemegang hak sebelum ini, AIS sudah berakhir tahun yang menyaksikan syarikat telekomunikasi tersebut membayar kira-kira 400 juta baht setahun kepada FAT.

Sebelum ini Madame Pang turut mengatakan bahawa tindakannya untuk merebut jawatan Presiden FAT adalah kerana ingin meningkatkan lagi kualiti bola sepak Thailand selain turut berjanji akan memperbaiki masalah kewangan dihadapi FAT, membantu perkembangan kelab dari asas dan mendapatkan lebih banyak hasil dari hak penyiaran.