HAJAT Kedah Darul Aman (KDA) FC mahu layak ke final Zon Asean Piala AFC 2022 tidak kesampaian apabila tewas 2-1 kepada PSM Makassar pada perlawanan separuh akhir di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar Bali malam ini.

Beraksi di gelanggang milik kelab Bali United, PSM Makassar lebih banyak mengasak ke kubu Kedah pada awal 15 minit pertama dan beberapa kali percubaan nyaris membuahkan hasil.

Sayap The Red Fish, Yakob Sayuri menolak bola dari jarak dekat untuk membuka jaringan pasukan tuan rumah m-31 dan tandukan hebat oleh Yuran Fernandes m-54 berpunca dari sepakan sudut berjaya menggandakan kelebihan.

Bagaimanapun, malang menimpa Fernandes yang di buang padang kerana mengutip dua kad kuning dan pemain Aidil Sharin Sahak segera mengambil kesempatan mengurangkan defisit dengan gol semangat Fayadh Zulkifli m-86.

Tujuh minit masa tambahan yang diberikan pengadil tetapi Sang Kenari gagal menyamakan kedudukan sehinggalah ke tiupan wisel penamat.

Esok, melibatkan satu lagi wakil negara, Kuala Lumpur City FC yang akan berhadapan Viettel FC di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, Vietnam dan pemenang akan berdepan PSM Makassar.