KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemainnya diganggu dengan ura-ura perpindahan menjelang dua aksi penting sebelum berakhir musim 2023.

Sabah bakal bertemu PSM Makassar dalam aksi Piala AFC pada Khamis sebelum melayan kunjungan Kedah Darul Aman dalam aksi terakhir Liga Super untuk merebut tempat ketiga yang menjanjikan wang agihan pendapatan sebanyak RM1.5 juta.

Kim Swee juga menjelaskan bahawa kebanyakan pemainnya masih mempunyai kontrak bersama pasukan sehingga penghujung 2024 sekaligus menyangkal laporan yang mendakwa beberapa pemain pasukan itu akan berhijrah pada musim hadapan.

“Biar saya jelaskan di sini, pertama kebanyakan pemain mempunyai kontrak sehingga penghujung 2024, jadi kalau ura-ura itu hanya datang dari media sosial kita tidak boleh mempercayainya.

“Jika ada pasukan yang berminat pada para pemain Sabah FC, saya minta mereka lakukan secara profesional kerana kita tahu di penghujung musim ini kebiasaan ada ‘pancing memancing’ ini biasa berlaku.

“Tapi dengan adanya perlawanan penting seperti perlawanan Khamis dan perlawanan akhir Liga Super, saya tidak ingin pemain saya diganggu. Jadi saya harap semua pihak dapat faham,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Likas.

Dalam sidang media yang sama, Kim Swee turut menjelaskan bahawa Sabah FC kini mempunyai pengurusan baru dan pastinya sedikit perubahan akan berlaku dalam skuad The Rhinos.

“Kita mempunyai pengurusan yang baru dan sudah tentu ada perubahan sedikit. Pada masa sama kita perlu berbelanja mengikut kemampuan kita dan apa yang akan berlaku selepas dua perlawanan ini saya akan berbincang dengan pihak tertinggi pengurusan untuk tentukan hala tuju pasukan musim depan.

“Saya akan berbincang dengan pihak tertinggi pengurusan dan mereka akan menentukan dan kami perlu menerima apa sahaja bajet yang diberi dan apa yang perlu dilakukan musim hadapan dan saya juga percaya mereka tahu apa yang terbaik untuk bola sepak Sabah,” tambahnya.

Walaupun sudah layak ke peringkat zonal semi final Asean, skuad Badak mahu mengakhiri peringkat kumpulan dengan kemenangan bagi memastikan momentum dapat dikekalkan sebelum perlawanan terakhir Liga Super pada Ahad.