PENJAGA gol Sabah FC, Damien Lim mengakui dia masih belum berada di puncak prestasi selepas melakukan debut yang cemerlang di Piala AFC dengan membantu Skuad Badak menewaskan wakil Singapura, Hougang United 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Walaupun dilihat sedikit bergelut dalam beberapa keadaan kerana permukaan padang yang licin, namun dia gembira kerana hasil usaha semua pemain, Sabah berjaya mengutip tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri.
“Ini perlawanan pertama saya selepas kecederaan dan ini bukan kemuncak prestasi saya lagi dan kredit kepada semua pemain yang beraksi sangat bagus dan lakukan tugas dengan baik untuk kita kutip tiga mata penuh.
“Semua pemain risau dengan keadaan padang yang licin dan ada beberapa ketika hanya penjaga gol sahaja yang faham keadaan itu namun ianya bukan alasan meskipun keadaan padang dan cuaca memainkan peranan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Penjaga gol kebangsaan itu turut gembira dengan semangat yang ditunjukkan rakan-rakan sepasukannya yang berjaya mengikut arahan taktikal jurulatih yang mana pada akhirnya berjaya menjalankan tugas dengan baik dan mencatat kemenangan berharga.
Dia turut berterima kasih kepada lebih 7,000 penyokong yang hadir ke stadium meskipun dalam cuaca yang kurang baik dan menghargai kesetiaan mereka yang dianggap sebagai tulang belakang buat pasukan untuk beraksi lebih baik.
Bagaimanapun hasrat Damien untuk mencipta ‘clean sheet’ tidak kesampaian apabila dibolosi menerusi jaringan Takayama Kazuma disahkan pengadil meskipun kelihatan dia sudah dapat menepis tandukan itu di atas garisan gol.