AKSI kedua Kumpulan G Piala AFC antara Bali United dan Terengganu FC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar Bali bakal berlangsung dalam suasana yang suram selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menghukum Bali United dengan mengenakan sekatan kapasiti penyokong.

Ini selepas Bali United didapati bersalah kerana gagal mengawal penyokong yang membakar suar, bom asap dan bermain bunga api ketika perlawanan Piala AFC 2022 menentang Kaya Iloilo FC pada Jun 2022.

AFC mendapati kelab telah melanggar Fasal 64.1 dan 65.1 Kod Disiplin dan Etika AFC sekaligus didenda USD30,000 dan diarahkan bermain dengan kapasiti terhad hanya 25 peratus penyokong pada kejohanan musim ini.

Perkara ini dilihat mampu memberikan skuad Peteh kelebihan kerana kekurangan penyokong setia Bali United yang terkenal dengan semangat jati diri terhadap kelab yang mampu mendatangkan gerun kepada pasukan pelawat.

Namun begitu, meskipun hanya beraksi dengan 25 peratus kapasiti, tugas berat masih menanti anak-anak buah Tomislav Steinbruckner untuk mengutip tiga mata penuh kerana Bali United dibarisi ramai pemain berpengalaman yang mampu menghukum sebarang kesilapan.

Bali United masih segar dengan kemenangan 2-0 keatas Persikabo manakala Terengganu pula menanggung kekalahan 0-4 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super dan Tomislav berharap ianya tidak akan menjejaskan moral para pemain.

Selepas berakhir perlawanan pertama, Bali United mengungguli Kumpulan G berkongsi tiga mata bersama Terengganu namun mempunyai kelebihan jaringan selepas membenam cabaran Stallion Laguna dari Filipina 5-2.