SKUAD bola sepak wanita Indonesia mencipta sejarah apabila muncul juara Piala AFF Wanita 2024 selepas menewaskan Kemboja 3-1 dalam aksi final sekali gus menempah salah satu slot ke Kejohanan Asean Wanita 2025.

Garuda Pertiwi membuktikan mereka adalah jaguh Tier 2 bola sepak wanita Asia Tenggara apabila dua jaringan Reva Octaviani dan satu dari Sydney Hopper cukup untuk memberikan kejuaraan sulung buat Indonesia.

Kemboja terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan berjaya juga menempah slot ke kejohanan wanita Asean tahun hadapan dan ini adalah pencapaian terbaik Kemboja dalam sejarah bola sepak wanita moden.

Timnas Putri meraikan kejayaan muncul juara Piala AFF Wanita 2024

Satu lagi slot ke kejohanan utama menjadi milik Singapura apabila The Lioness menewaskan Timor-Leste 1-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat hasil jaringan tunggal Putri Syaliza Sazali pada babak pertama.

Indonesia bukan sahaja membawa pulang trofi kejuaraan tetapi pemain-pemain kendalian Satoru Mochizuki itu mengungguli anugerah individu sekali gus menjadikan satu kejohanan yang sukses buat bola sepak wanita Indonesia.

Reva Octaviani merangkul trofi Pemain Terbaik Kejohanan serta berkongsi penjaring terbanyak dengan tiga gol bersama-sama Poeurn Kunthea manakala penjaga gol Indonesia, Laita Roati dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Kemboja dan Singapura mengiringi Indonesia layak ke Kejohanan Asean Wanita 2025

Indonesia, Kemboja dan Singapura akan menyertai Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan Australia untuk bertanding merebut kejuaraan Asia Tenggara pada kejohanan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ranking terakhir menyaksikan Timor Leste mendapat tempat keempat dengan dua mata, tuan rumah Laos, kelima dengan satu mata manakala Malaysia tercorot tanpa sebarang mata selepas beraksi dua perlawanan.