PENYOKONG Selangor FC menerusi Ultrasel terus mendesak untuk mengadakan satu perjumpaan dengan Pemilik SFC, DYTM Tengku Amir Shah yang juga Raja Muda Selangor (RMS) selepas satu lagi siri kegagalan melanda kelab itu.

Dalam tempoh seminggu, Gergasi Merah melihat diri mereka tersingkir dari saingan Piala Malaysia, dipintas Sabah FC di tangga kedua Liga Super dan terbaharu, tersingkir dari Liga Juara-Juara AFC 2 sekaligus mencetuskan rasa kecewa di kalangan penyokong terhadap pihak pengurusan kelab.

Sebelum ini, satu perjumpaan tertutup telah diadakan antara wakil-wakil kelab penyokong dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon namun kini gerakan penyokong semakin lantang meminta pertemuan dengan RMS.

Menerusi satu hantaran di media sosial rasmi, Ultrasel menyatakan sebab mengapa perjumpaan ini perlu diadakan bagi memastikan kelab ini kembali ke prestasi terbaik dan mendapat keyakinan daripada para penyokong dan penaja.

“Tamat sudah perjalanan kita di peringkat ACL2. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Kami berharap untuk berjumpa dengan pemilik Selangor FC untuk membincangkan masalah yang berlegar dalam pasukan. ‘Come on Mr. Chairman, make it happen‘, untuk Selangor FC,” tulis kenyataan itu.

Desakan ini bermula selepas Selangor ditunjukkan jalan keluar dari saingan Piala Malaysia oleh Sri Pahang di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dan kain rentang dinaikkan sebagai isyarat gelombang amarah penyokong sudah tidak dapat dibendung.

Kain rentang yang dinaikkan penyokong Selangor mendesak pertemuan dengan pemilik SFC

Setakat hari ini, masih belum ada apa-apa kenyataan rasmi daripada kelab berkaitan tuntutan ini dan perkara ini mungkin akan berpanjangan di Paroi apabila Selangor bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Isnin.

Diharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua-dua pihak kerana bola sepak tidak akan ada tanpa penyokong dan suara penyokong adalah keramat buat kelab.