STADIUM Nasional Bukit Jalil bakal menjadi medan tempur sengit buat Harimau Malaya apabila bertemu Singapura dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024, Jumaat malam.
Perlawanan itu bukan sekadar perlawanan biasa, ia adalah pertarungan hidup mati untuk skuad kendalian Pau Marti yang wajib meraih kemenangan mutlak bagi mengesahkan slot ke separuh akhir.
Dengan hanya empat mata selepas tiga perlawanan, Malaysia kini berada di kedudukan keempat, di belakang Singapura yang mengumpul enam mata.
Situasi ini menjadikan kemenangan ke atas seteru serantau itu sebagai satu-satunya jalan untuk terus hidup di kejohanan ini.

Sebaliknya, Singapura hanya memerlukan keputusan seri untuk mara, sekali gus menjadikan cabaran buat Harimau Malaya semakin getir.
Sejarah pertembungan kedua-dua pasukan membuktikan perlawanan ini bukan sekadar persaingan bola sepak, tetapi juga kebanggaan serantau.
Sejak 1957, Malaysia dan Singapura telah bertemu sebanyak 18 kali dengan Malaysia mencatatkan empat kemenangan, manakala Singapura lima, sementara sembilan perlawanan berakhir seri.
Namun, statistik ini tidak menjamin kelebihan kepada mana-mana pasukan, apatah lagi dengan kekuatan dan kelemahan yang berbeza di atas padang.

Statistik lima perlawanan terakhir Malaysia dan Singapura.
Malaysia dijangka terus mengutamakan serangan balas pantas, memanfaatkan kelajuan pemain sayap seperti Fazrul Amir yang kian meningkat prestasinya untuk mencipta peluang gol.
Dalam masa yang sama, semangat juang pemain-pemain Harimau Malaya yang sering menonjol ketika perlawanan penting bakal menjadi senjata utama.
Bagaimanapun, Malaysia perlu segera memperbaiki kelemahan di bahagian penyudah dan konsistensi pertahanan.
Kegagalan mengekalkan disiplin dalam beberapa perlawanan lalu telah menyebabkan pasukan ini dibolosi gol-gol mudah, satu kelemahan yang tidak boleh diulang menentang Singapura.

Fazrul Amir mendapat debut bersama Malaysia ketika menentang India dalam perlawanan persahabatan November lalu.
Sementara itu, Singapura pula dijangka tampil dengan organisasi pertahanan kukuh, kekuatan utama mereka sepanjang kejohanan ini. Kehadiran semula Safuwan Baharudin di barisan pertahanan memberikan suntikan tambahan kepada pasukan itu, sekali gus menyukarkan tugas pemain Malaysia untuk mencari ruang.
Di barisan serangan, Malaysia juga perlu berhati-hati dengan ancaman Shawal Anuar yang sering menjadi penggerak utama Singapura di bahagian hadapan. Lebih merisaukan, pemain naturalisasi baharu mereka dari Jepun, Nakamura, kini menjadi antara senjata ampuh yang mampu mengubah rentak perlawanan.

Shawal Anuar (kiri) yang sering menjadi penggerak utama Singapura di bahagian hadapan.
Namun, apa yang lebih penting adalah sokongan moral daripada penyokong di stadium. Kehadiran puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil mampu memberi suntikan semangat tambahan kepada Harimau Malaya.
Perlawanan malam esok adalah peluang untuk Malaysia membuktikan keupayaan mereka sebagai salah satu pasukan yang solid. Segalanya bergantung kepada bagaimana mereka memanfaatkan peluang dan bertahan daripada serangan balas Singapura.
Ayuh kita jadikan Bukit Jalil lautan kuning hitam dan bersama-sama memberikan sokongan penuh kepada pasukan kebanggaan negara.