SKUAD Harimau Malaya menamatkan dua perlawanan awal Kumpulan D, Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 dengan bergaya apabila menerajui kumpulan dengan enam mata selepas mencatat kemenangan ke atas Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.

Kejayaan anak-anak buah Kim Pan-gon menundukkan Chinese Taipei 1-0 di Taipei memastikan Malaysia mengutip mata maksimum sebelum aksi kelayakan bersambung pada Mac dengan dua perlawanan menentang Oman.

Lebih manis, Malaysia kini selesa berkelebihan tiga mata selepas Oman tewas 0-1 kepada Republik Krygyz dalam aksi yang berlangsung di Bishkek sekaligus menjadikan kedudukan lebih terbuka untuk kesemua pasukan.

Gol pada babak kedua oleh Odiljon Abdurakhmanov sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat Republik Krygyz yang mencatat kemenangan pertama kempen selepas tewas dalam perlawanan pembukaan kepada Malaysia.

Keputusan ini juga memihak buat Malaysia yang kini selesa mendahului kumpulan, sesuatu perkara yang jarang berlaku dalam sejarah bola sepak tanah air sebelum ini.

Jaringan tunggal Darren Lok pada minit ke-72 sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Malaysia sekaligus menamatkan kemarau kemenangan buat Harimau Malaya di Taipei dan kedudukan tangga teratas ini menambah senyuman di wajah semua rakyat Malaysia.

 

Malaysia akan berhadapan Oman dua kali pada Mac dan sebarang keputusan positif akan memastikan Malaysia kekal di tangga teratas kumpulan dan semakin mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2027 dan layak automatik ke Piala Asia 2027.