PENDAHULU keseluruhan kategori CP150, Ahmad Afif Amran, mempamerkan aksi meyakinkan pada sesi kelayakan Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, pada Jumaat.
Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing itu muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan masa 48.505 saat (s) bagi saringan Kumpulan B.
Keputusan itu membolehkan Ahmad Afif bersaing pada sesi ‘super pole‘, pagi ini, bagi merebut petak 10 terbaik untuk perlumbaan sebenar di litar sepanjang 1.3 kilometer itu pada sebelah petang.
Selepas enam pusingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Ahmad Afif mengumpul 102 mata namun masih diekori rapat pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Bahauddin (96 mata).
Kategori CP125 juga tidak kurang hebatnya apabila dua pelumba pasukan OneXOX TKKR Racing, Md. Hafiza Rofa dan Md. Shafiq Rasol masing-masing berkongsi 94 mata.
Pada sesi kelayakan petang tadi, Md. Shafiq lebih unggul mencatat masa terpantas 50.721s manakala Md. Hafiza di kedudukan ketiga dengan masa 51.395s.