Kredit Gambar: JUAN MABROMATA/AFP
Kepimpinan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengakui terdapat kelemahan dalam pengendalian cadangan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE) dan memohon maaf susulan kontroversi yang tercetus, sambil menegaskan sokongan penuh terhadap Presidennya, Gianni Infantino.
Pendirian itu diumumkan selepas mesyuarat kepimpinan FIFA di Rabat, Maghribi, ketika tekanan terhadap Infantino terus memuncak berikutan cadangan membenarkan pelaburan swasta dalam aset komersial badan induk bola sepak dunia itu.
Dalam kenyataan rasmi, FIFA mengakui beberapa kesilapan berlaku selepas butiran cadangan tersebut tersebar kepada media.
Pada masa sama, Setiausaha Agung FIFA bersama ahli-ahli Lembaga Pengurusan badan itu mengulangi sokongan penuh terhadap Infantino yang disifatkan sebagai satu-satunya pegawai dipilih secara langsung oleh kesemua 211 persatuan ahli FIFA.
Walaupun mendapat sokongan daripada barisan kepimpinan, Infantino terus berdepan kritikan daripada beberapa konfederasi dan persatuan bola sepak yang mempersoalkan cara cadangan itu dikendalikan.
Kontroversi tersebut tercetus selepas FIFA mengumumkan rancangan menubuhkan subsidiari komersial dikenali sebagai FIFA Forward Enterprise (FFE) yang bakal menguruskan kejohanan utama seperti Piala Dunia FIFA dan Piala Dunia Kelab.
Menerusi cadangan itu, FIFA bercadang menjual pegangan minoriti kepada pelabur luar bagi mengumpul sehingga AS$4.2 bilion, sekali gus meletakkan nilai entiti baharu itu sekitar AS$20 bilion.
FIFA turut menjelaskan hasil pelaburan itu berpotensi membolehkan setiap 211 persatuan ahli menerima bayaran sekali sebanyak AS$20 juta pada awal 2027, selain meningkatkan peruntukan pembangunan bagi kitaran 2027 hingga 2030 daripada AS$8 juta kepada AS$20 juta.
Namun, cadangan tersebut menerima tentangan hebat khususnya daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), yang menyifatkan langkah itu boleh menjejaskan masa depan Piala Dunia sebelum mengancam untuk memulaukan kejohanan berkenaan.
Berdepan tekanan yang semakin memuncak, Infantino akhirnya mengumumkan penarikan balik cadangan itu hujung minggu lalu.
“Tujuan kami sentiasa, dan akan terus, adalah untuk menyatukan serta memajukan bola sepak,” kata Infantino.
Keputusan menarik balik cadangan FFE dilihat meredakan sementara kemelut yang melanda FIFA, namun desakan supaya badan induk itu menambah baik proses tadbir urus dan membuat keputusan secara lebih telus dijangka terus menjadi perhatian komuniti bola sepak dunia.