KEMPEN Piala Dunia Hoki Malaysia bermula dengan kekalahan 4-0 di tangan juara tiga kali, Belanda pada aksi Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 hari ini.
Bagaimanapun, prestasi yang ditunjukkan pemain Speedy Tigers pada perlawanan pertama itu, boleh dibanggakan apatah lagi ketika menentang pasukan yang berada di ranking ketiga dunia.
Jika dibandingkan dengan pertemuan pembukaan edisi Piala Dunia lalu, ketika skuad negara tewas 7-0, pasukan bimbingan A Arulselvaraj sekurang-kurangnya mengelak dari kekalahan terlalu besar.
Malaysia mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi beberapa percubaan menerusi pukulan sudut penalti gagal disempurnakan.
Belanda sebaliknya memanfaatkan pukulan sudut penalti menerusi Thijs van Dam untuk gol pertama mereka, diikuti pukulan penalti selepas Amirul Azahar menolak pemain lawan untuk gol kedua menerusi Jip Janssen.
Malaysia bangkit di suku ketiga, meneruskan penguasaan tetapi gagal memanfaatkan peluang terhidang.
Dua lagi gol Belanda disempurnakan Teun Beins pada minit ke-48 dan Jorrit Croon pada minit ke-60.
Arul berkata, kesilapan Amirul Azhar, 22, sehingga Belanda memperoleh gol kedua, bukan kesalahannya semata-mata.
Beliau menggesa agar tiada pihak menyalahkan Amirul yang mengumpul kaps ke-12nya, pada perlawanan itu.
“Amirul memberikan penalti yang memberi kelebihan kepada Belanda, tetapi kita tidak perlu menghukumnya kerana dia masih muda dan amat berbakat.
“Dia sudah bersama pasukan selama setahun, jadi kita perlu berikan dia peluang untuk belajar daripada kesilapannya,” kata Arul.
Sementara itu, kapten Marhan Jalil berkata, lebih mudah bermain menentang Belanda kali ini berbanding empat tahun lalu, namun kesilapan dalam pasukan membuatkan mereka dihukum dengan empat gol.
“Kali ini saya rasa lebih mudah untuk Malaysia menentang Belanda kerana kami bekerja keras untuk hari ini tetapi akhirnya, pasukan lebih baik menghukum kami di atas kesilapan yang kami sendiri lakukan,” kata Marhan.
Anak buah Arul akan bertemu Chile pada Isnin.