KELAB Superliga Denmark, Odensk BK, bakal menjadi salah satu daripada empat pasukan yang akan menguji Terengganu FC (TFC) dalam aksi pramusim di Thailand, bulan depan.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, perlawanan persahabatan di negara jiran itu juga dijadikan medan terakhir memilih kesebelasan utama sebelum sepak mula Liga Super.
“Semua pemain akan diberi minit permainan dan kami memerlukan sekurang-kurangnya lapan atau sembilan aksi pemanas badan.
“Di Thailand nanti, TFC akan bertemu Odensk BK, Chonburi FC dan dua lagi kelab Thailand bermula 7 Februari. Kami akan berada di sana selama seminggu,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.
Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu lagi, TFC memulakan siri persahabatan bertemu Kelantan United (21 Januari) disusuli KL City FC dan Negeri Sembilan pada 27 sehingga 31 Januari.
Sementara itu Steinbruckner berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya sejak memulakan latihan dengan aspek kecergasan menjadi fokusnya ketika ini.
Malah bekas jurulatih T-Team itu mengakui mengamalkan corak latihan yang keras sambil dalam masa sama mencongak strategi terbaik skuad kendaliannya.
“Saya belum dapat mengumpul skuad yang lengkap dengan tiga pemain iaitu Azam Azmi Murad, Rahadiazli Rahalim dan Adisak Kraisorn diberi cuti seminggu setelah tamat Piala AFF.
“Beberapa pemain masih bergelut untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik dan mereka harus sedar latihan keras penting dalam tempoh pramusim,” tambah Steinbruckner lagi.