AKSI kedua pusingan 16 Piala FA 2025-2026 bakal menyaksikan PDRM FC turun berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Jumaat ini. Pasukan tuan rumah ini menggalas misi sukar selepas ketinggalan dengan agregat 0-5, namun tetap berazam mempamerkan persembahan terbaik di depan penyokong sendiri.

Penolong jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil menegaskan pasukannya akan tampil lebih dengan corak di bahagian serangan, namun pada masa sama mahu memastikan benteng pertahanan tidak mudah dibolosi.

“Kami akan mempamerkan corak serangan, tapi dalam masa yang sama tidak mahu gol kami dibolosi oleh pihak lawan. Saya hanya berharap agar pemain-pemain dapat berikan aksi yang terbaik untuk pasukan PDRM,” katanya.

Jelas bahawa selain menyerang, aspek bertahan juga menjadi keutamaan selepas gawang Sang Saka Biru dibolosi dengan jumlah besar pada aksi pertama, dan disiplin di Selayang nanti dianggap penentu kepada kekuatan pasukan.

Penolong Ketua Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil (Sumber Gambar: PDRM FC)

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Eddy menganggap semuanya seperti berjalan lancar dengan barisan pemain bebas daripada kecederaan, kecuali seorang tonggak pemainnya.

“Persiapan pasukan kini berjalan dengan baik sahaja, yang penting semua pemain kita bebas daripada kecederaan dan hanya Noel Agbre akan terlepas perlawanan tersebut akibat penggantungan,” ulasnya.

Selain aksi pertama yang berlangsung Jumaat, terdapat 7 lagi aksi tumpuan Piala FA yang bakal menanti pada hari Sabtu, Sabah FC lawan Bunga Raya FC, Selangor FC lawan Malaysian University dan Terengganu FC lawan Imigresen FC.

Beralih pada Ahad pula, Kuching City FC dan DPMM FC, Kuala Lumpur City FC dan Kelantan The Real Warriors serta Penang FC dan Melaka FC. Aksi terakhir pula adalah perlawanan antara Johor Darul Ta’zim dan UM-Damansara United pada 2 Oktober 2025.