“KELAHIRAN” semula Lee Zii Jia selepas rehat panjang masih belum menemui titik kesempurnaan, apabila dia tewas di pusingan awal buat kali kedua selepas Kejohanan Dunia di Paris, bulan lalu.
Pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong, sebentar tadi, bekas juara All England itu tewas 16-21, 16-21 kepada rakan senegara, Leong Jun Hao dalam aksi di Hong Kong Coliseum.
Di gelanggang, jelas kelihatan Zii Jia belum berada pada prestasi terbaik apabila banyak melakukan kesilapan mudah.
Jun Hao pula berjaya memanfaatkan situasi dengan menampilkan prestasi lebih baik sebelum melengkapkan kemenangan dalam tempoh 40 minit.

Leong Jun Hao berjaya mengatasi Lee Zii Jia buat kalu pertama di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, Jun Hao tewas dalam semua tiga perlawanan menentang Zii Jia di pentas antarabangsa dan kini merapatkan jurang itu.
Terbuka Hong Kong merupakan kejohanan kedua disertai Zii Jia sejak kembali daripada rehat panjang selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menyertai All England Mac lalu.
Untuk rekod, pada Kejohanan Dunia lalu, Zii Jia turut kandas di pusingan pertama.
Sementara itu, Jun Hao akan bertemu sama ada pemain Perancis, Toma Junior Popov ataupun rakan sepasukan, Justin Hoh di pusingan kedua nanti.