PASUKAN Selangor MAC memulakan kempen Piala Futsal AFF 2022 dengan bergaya selepas menundukkan wakil Timor Leste, Ramelau FC 6-0 pada aksi Kumpulan B yang berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima, Thailand pada Isnin.

Dengan hanya tiga pasukan dalam Kumpulan B, Selangor kini ditangga teratas dan sudah pun melayakkan diri ke separuh akhir selepas Ramelau mengalami kekalahan kedua dalam kejohanan ini.

Skuad kendalian Carlos Alberto Aranha itu meraih tiga mata hasil jaringan Fariq Mohammad, Syahir Iqbal, dua gol oleh Matheus Silva, Khairul Effendi dan Danial Dain dengan Selangor MAC menunjukkan aksi yang mantap dan berjaya mendominasi sebahagian besar permainan.

 

Kemenangan ini juga bakal menjadi pembakar semangat buat Selangor MAC yang akan turun menentang Sahako FC pada Selasa.

Edisi ketujuh kejohanan ini disertai tujuh pasukan dari juara Liga Futsal seluruh Asean dengan Selangor MAC mendapat tempat ketiga pada edisi 2021.

Sebagai rekod, kelab dari Thailand muncul juara enam kali berturut-turut dari enam kejohanan sebelum ini sekaligus memperlihatkan penguasaan penuh Thailand dalam sukan ini.