KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe enggan mengambil mudah perlawanan pertama pembukaan Piala Malaysia 2023 apabila dijadualkan bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Khamis.

Kekalahan pada Jun lalu dalam saingan Liga Super jelas memberi pelajaran bermakna buat anak buah Cheng Hoe agar lebih berhati-hati dengan corak serangan balas pantas yang diterapkan pasukan PDRM.

“Kita tahu dengan PDRM memang defensivelah cara permainan mereka. Tempoh hari dalam liga kita kalah, dari situ kita belajar bagaimana hendak mengatasi pasukan PDRM.

“Setiap peluang yang ada kita perlu manfaatkan, counter attack mereka kita nampak memang cukup merbahaya, itu satu satu gol yang kita dibolosi ketika menentang PDRM hari itu,” katanya ketika dihubungi Flash Sukan.

Mengulas kecederaan yang menimpa Richmond Yiadom Boakye ketika berdepan Johor Darul Ta’zim dalam aksi Liga Super sebelum ini, pasukan perubatan mengesahkan kecederaan ‘cerebral concussion‘ yang dialami penyerang Gergasi Merah itu tidaklah berada pada tahap membahayakan.

Pun begitu, Cheng Hoe menjelaskan dia tidak berhasrat menurunkan Boakye pada perlawanan berdepan PDRM ini  kerana pasukan tidak mahu mengambil sebarang risiko.

“Pasukan perubatan sedang memantau tahap kesihatan Boakye kerana kita tidak mahu mengambil risiko yang tinggi sekiranya dia belum bersedia seratus peratus.

“Doktor tengah memantau dari segi kecederaan tersebut, tidaklah serius sangat. Dia boleh membuat latihan ringan. Petanda yang positif untuk pasukan. Sudah tentu dari segi kecederaan kepala, kita harus mengambil perhatian. Kita tidak boleh menurunkan Boakye sekiranya dia tidak betul betul cergas,” katanya.

Sementara itu, posisi tersebut bakal digalas penyerang import sensasi Selangor FC, Ayron Del Valle yang dilihat mempunyai kualiti mengancam kubu Sang Saka Biru pada aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Khamis malam.

“Kalau Boakye tidak beraksi, kita tahu Ayron bakal menggalas tanggungjawab tersebut kerana sebelum itu Ayron bermain sebagai penyerang juga. Kita tahu kualiti yang ada pada Ayron. Dia mampu membuat sesuatu kepada PDRM,” ujarnya.