JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk menewaskan Negeri Sembilan 3-0 sekaligus membawa pulang kelebihan selesa ke Iskandar Puteri dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua gol pada babak pertama menerusi Arif Aiman dan penalti Bergson Da Silva serta gol minit akhir juga dari Bergson sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada barisan Esteban Solari yang dilihat dapat menggunakan kesempatan ini untuk mengeluarkan pemain utama lebih awal.

JDT turun dengan barisan terbaik termasuk pemain kebangsaan yang baru selesai tugasan antarabangsa di China seperti biasa menguasai permainan sejak sepak mula dan Arif Aiman meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-20 menerusi rembatan deras.

Tersentak dengan gol itu, Negeri Sembilan cuba menyerap tekanan tetapi gagal mengawal kepantasan Arif Aiman di sayap dan kelincahan Bergson di dalam kotak penalti dan akhirnya melakukan kekasaran yang menghadiahkan penalti kepada JDT dan mudah disempurnakan Bergson untuk kedudukan 2-0 pada babak pertama.

JDT mengeluarkan majoriti pemain utama pada babak kedua namun ianya tidak menjejaskan rentak cemerlang Harimau Selatan untuk terus mempamerkan aksi mantap yang menghiburkan hampir 6,000 penyokong yang hadir di stadium.

Negeri Sembilan beraksi dengan keseluruhan pemain tempatan pada majoriti babak kedua dan mereka berjaya menekan JDT pada penghujung perlawanan untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol.

Namun ketika skuad Jang ghairah menyerang, Bergson menambah derita Negeri Sembilan dengan gol ketiga apabila berjaya mengatasi perangkap ofsaid untuk menyumbat gol ketiga JDT sekaligus memberikan kelebihan untuk aksi pusingan kedua pada 23 September nanti.