PDRM FC terpaksa bekerja keras sebelum bangkit mengikat Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan seri 3-3 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Selayang, pada Sabtu.

Perlawanan yang mendebarkan itu menyaksikan PDRM FC mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, namun KDA FC menunjukkan karakter luar biasa dengan menjaringkan tiga gol pada babak kedua.

Walaupun berada dalam tekanan, PDRM FC berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit-minit akhir permainan.

Ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam, menyifatkan perlawanan tersebut sebagai satu hiburan yang luar biasa untuk peminat bola sepak.

Eizrul Ashraf berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk pasukan PDRM FC.

“Ini adalah satu perlawanan yang cukup menarik, semua orang yang menonton pasti terhibur dan saya sangat menghormati Kedah kerana walaupun mereka menghadapi banyak masalah, mereka tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi.

“Pemain dan barisan kejurulatihan mereka bermain dengan karakter dan sikap yang hebat, dan itu bukan perkara yang mudah,” ujarnya.

Mengulas mengenai kelekaan pasukan PDRM FC pada babak kedua, Maniam menjelaskan bahawa kehilangan fokus dan terlalu selesa selepas mendahului dua gol menjadi punca utama.

“Masalah konsentrasi dan kurang fokus menjadi faktor utama kami melepaskan tiga gol, kami kerap mengingatkan pemain supaya tidak melakukan kesilapan, tetapi itu yang berlaku.

“Babak kedua, kami sepatutnya terus menyerang untuk mendapatkan gol ketiga dan membunuh permainan tapi malangnya, kami terlalu complacent (selesa) sehingga dihukum oleh Kedah,” tambah Maniam.

Walaupun begitu, Maniam tetap optimis menjelang aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung pada 1 Februari di Stadium Darul Aman, Kedah.

“Kami akan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin dengan mungkin mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan-pasukan yang kuat.

“Pemain perlu bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan, terutamanya dalam aspek bertahan.

“Jika kami turun dengan karakter, sikap, dan keazaman yang tinggi, saya yakin kami boleh mencipta peluang untuk menang di Kedah nanti,” tambahnya lagi.

Justeru, Maniam juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan PDRM yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan.

Dengan keputusan seri ini, aksi separuh akhir kedua di Alor Setar bakal menjadi pertembungan sengit yang akan menentukan pasukan mana yang layak mara ke peringkat akhir.