PASUKAN PT Athletic FC  mengintai peluang untuk mencipta sejarah layak ke final Piala Cabaran 2024-25 selepas tersingkir dari saingan Piala Malaysia di Pusingan 16 selepas tewas 0-7 secara aggregat kepada Sabah FC.

Pengendalinya, Nazrulerwan Makmor mengakui pengalaman beraksi di Piala Malaysia akan digunakan sebaik mungkin oleh pemainnya bagi mengharungi Piala Cabaran yang boleh dianggap sebagai peluang kedua buat semua pasukan yang tersingkir dari Piala Malaysia.

“Tahniah kepada para pemain kerana kita berjaya bertahan pada babak pertama tanpa dibolosi tetapi dihukum dengan penalti pertama pada babak kedua dan ianya terus mengendurkan momentum kami selepas itu.

Nazrulerwan mahu PT Athletic mara sejauh boleh di Piala Cabaran

“Kami bermain dengan seorang pemain import dan selebihnya pemain tempatan berpengalaman yang pada saya, kami mampu berikan saingan dengan pasukan-pasukan lain selepas ini dalam Piala Cabaran.

“Jika bertanya pada saya, semestinya kami mahu layak ke final Piala Cabaran supaya sekurang-kurangnya kami dapat cipta sejarah menjadi pasukan pertama Liga A1 yang layak ke final pada penampilan pertama dan membanggakan komuniti Putrajaya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Nazrulerwan turut mengakui bahawa pihak pengurusan kelab sedang dalam usaha menyelesaikan masalah luar padang yang membelenggu dan berharap perkara ini dapat memberikan motivasi tambahan buat para pemain untuk beraksi lebih baik pada baki saingan Liga A1.

Pemain-pemain PT Athletic beraksi baik di Piala Malaysia

“Masalah luar padang sedang diselesaikan secara berperingkat dan akan selesai menjelang penghujung liga. Semua proses sedang berjalan dan satu sidang media akan diadakan berkaitan perkara ini dan ianya penting untuk pemain beraksi lebih baik pada saingan liga dan Piala Cabaran,” jelasnya.

PT Athletic menjadi pasukan pertama layak ke Piala Cabaran dan akan menanti tujuh lagi pasukan sebelum undian rasmi dilakukan bagi menentukan siapakah lawan mereka di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung bermula pada 10 Disember 2024.