FOTO : SRI PAHANG FC

PERTEMBUNGAN ‘derby’ Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) menentang Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Jumaat dijangka sengit dan menarik.

Ini kerana kedua-dua pasukan kini berada pada momentum terbaik dalam saingan liga walaupun rentak Sang Penyu sedikit sumbang apabila dibantai Selangor, 5-1 dalam pertemuan terakhir penghujung Ramadan baru-baru ini.

Sebelum ini, skuad TFC yang dikendalikan Tomislav Steinbrukner meraih tiga kemenangan berturut-turut selain berada dalam suasana suku akhir Piala FA.

Kedua-dua pasukan mempunyai reputasi tinggi untuk melakar kemenangan terutamanya skuad Tok Gajah berjaya merakam tiga kemenangan pada aksi terakhirnya cuma hanya berdepan penyingkiran di pusingan 16 kempen Piala FA.

TFC seharusnya mampu kembali ke landasan kemenangan dengan memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk meraih tiga mata.

Ini kerana, selepas kalah kepada Selangor, TFC perlu mengelak keciciran mata lagi atau berdepan laluan sukar membaiki kedudukan dalam liga.

Peminat setia Hitam Putih itu sudah tentu mengharapkan aksi bertemu Sri Pahang dimanfaatkan sebaik mungkin dan pemain kesayangan mereka perlu lebih bersedia untuk aksi derbi ini.

Seluruh peminat kedua-dua pasukan semestinya meletakkan harapan yang tinggi buat pemain yang mampu memperagakan aksi terbaik bagi mengekalkan momentum kemenangan. Apapun, ia terserah dengan kebijaksanaan ketua jurulatih mengadunkan pemain yang bakal beraksi dengan melihat kepada kekuatan dan kelemahan pihak lawan.

Kehadiran penyokong TFC selepas Aidilfitri amat ditagih bagi menyemarakkan lagi semangat pemain tuan rumah untuk berjuang ke titisan keringat terakhir.

TFC kini di tangga keenam Liga Super memungut 13 mata daripada sembilan perlawanan, manakala Sri Pahang di tempat ketiga teratas dengan 19 mata.