AKSI derbi Pantai Timur di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin memihak Terengganu FC (TFC) yang lebih unggul menewaskan Kelantan FC 5-0.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu mula mendahului melalui gol menarik Jordan Mintah yang melakukan rembatan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-16.
Lima minit berselang Adisak Kraisorn menceriakan TFC setelah menghukum tandukan kurang cermat pemain Kelantan FC, Arip Amiruddin untuk menjadikan kedudukan 2-0.
“Pada dua perlawanan sebelum ini kami juga bermain dengan baik cuma kami tidak mendapat jaringan yang sepatutnya. Saya gembira pada hari ini kerana setiap pemain mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Seperti mana saya pernah katakan sebelum ini, setiap perlawanan adalah sama. Hari ini seolah-olah perlawanan mudah buat kami untuk 5-0.
“Selalu saya katakan kepada pemain jangan membuat kesilapan pertama di dalam padang biarkan pasukan lawan untuk mendapat kesilapan awal agar dapat memberi motivasi yang bagus buat kita,” ujar ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner sewaktu ditanya oleh FLASH SUKAN sejuruh tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Kelantan FC dihidangkan peluang terbaik pada minit ke-24 namun percubaan Nurshamil Abdul Ghani dari dalam kotak penalti sekadar melencong tinggi dari sasaran.
Hasrat TFC menambah jaringan pada babak kedua berhasil apabila Ivan Mamut (m-66) dijatuhkan di dalam kotak penalti sebelum pemain itu sendiri menyudahkan sepakan dari jarak 12 ela.

Ivan Mamut telah diundi sebagai Colever Man Of The Match oleh para penyokong di aplikasi Terengganu FC.
Pesta gol Sang Penyu diteruskan pada hujung permainan menerusi Mamut yang menjaringkan gol kedua peribadi setelah menyudahkan umpanan Hakimi Abdullah pada minit ke-90.
Hakimi melengkapkan pesta gol TFC dalam masa kecederaan sekaligus memastikan kemenangan 5-0 dan menambah derita Kelantan FC yang kehilangan khidmat ketua jurulatihnya.