MENGHADAPI cabaran Oman pada perlawanan terakhir kumpulan B, saingan Piala Remaja Asia 2023 esok, ketua jurulatih hoki remaja lelaki, Muhammad Amin Rahim mahu pemain enjoy the moment.

Malah menurut Amin, pemain tidak perlu memikirkan terlalu jauh mengenai siapa lawan bakal dihadapi di peringkat separuh akhir, Rabu nanti.

“Buat masa sekarang, kita sudah sah ke separuh akhir, menanti sama ada India atau Pakistan, tapi saya mahu pemain enjoy the moment dan bersedia menghadapi Oman terlebih dahulu.

“Tempoh rehat sehari hari ini, kami melihat semula perlawanan-perlawanan membabitkan Oman, kita akan nilai kekuatan dan kelemahan yang boleh digunakan sebagai kelebihan pasukan kita,” kata Amin.

Menurut Amin, dia mahu pemainnya mengekalkan mentaliti kemenangan sekali gus mengekalkan rekod kemenangan berturut-turut sejak saingan Sukan Sea Kemboja.

Skuad negara akan berdepan Oman kira-kira jam 9 malam esok (Isnin) waktu tempatan (1 pagi 31 Mei) dan pasukan negara hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul juara kumpulan B.

Selepas tiga perlawanan, pasukan negara meledakkan 16 gol dan bolos tiga kali.