Perlawanan kedua, TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026 Kategori Premier menyaksikan Maybank melakukan kebangkitan dramatik bagi memastikan tidak keciciran mata, sekaligus memaksa Terengganu Hockey Team (THT) untuk berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

Aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu memaksa THT untuk menunggu sehingga minit ke-42 bagi memecah kebuntuan jaringan hasil gol padang Mohd Fitri Saari selepas kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan.

Seakan keputusan hampir pasti memihak THT, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin muncul wira Maybank, menyelamatkan pasukannya daripada berputih mata apabila menjaringkan gol penyamaan beberapa saat sebelum masa sebenar perlawanan berakhir.

Keputusan seri itu memperlihatkan Maybank kini dikedudukan kedua dengan keseluruhan empat mata selepas dua perlawanan sementara THT dikedudukan keempat dan TNB Thunderstars yang merekodkan kemenangan kedua berturut-turut mereka, kali ini menewaskan pasukan “adik” TNB Thunderbolts, 8-2 menghuni tangga teratas liga dengan keseluruhan enam mata.

Pengendali THT, Mohd Harfizi Baharom menyifatkan kelemahan pasukannya adalah melepaskan gol pada minit terakhir perlawanan, seakan dejavu ketika bertemu TNB Thunderstars pada aksi pembukaan.

Bagaimanapun, kemampuan untuk terus bersaing dan bertahan sehingga hujung perlawanan sebelum melepaskan satu gol dilihat sebagai sesuatu yang positif olehnya pada aksi hari ini.

“Walaupun kami membawa pulang satu mata, namun ia skrip yang sama berulang, iaitu kesilapan di penghujung perlawanan yang menghukum kami.

“Kami tidak boleh keciciran sebarang mata lagi untuk perlawanan seterusnya jika mahu kekal bersaing merebut tempat terbaik dalam liga. Jadi kami pasti akan memperbaiki kelemahan yang dilihat menjelang pertemuan dengan ATM,” jelasnya yang percaya pasukannya akan cuba bangkit menebus dua kekecewaan yang dialami.

Harfizi Baharom dalam pada itu mengesahkan semua pemain import pasukannya telah tiba dan membentuk keserasian yang baik antara pemain import dan pemain tempatan menjadi fokus utama pasukannya ketika ini.

“Kami kini dalam usaha untuk membentuk keserasian antara sesama pemain import dan juga pemain import dengan pemain tempatan.

“Saya yakin selepas keserasian ini berjaya dibentuk, pasukan mampu untuk mencipta peluang-peluang menyerang dan menjaringkan gol dengan lebih baik,” tambahnya yang yakin keserasian itu akan terlihat dan membuahkan hasil pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.

THT akan turun untuk bertemu ATM pada Ahad, jam 6:00 petang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sementara ATM akan turun menentang pasukan daripada China, Liaoning Men’s HT, terlebih dahulu hari ini jam 4:00 petang di venue yang sama.

Sumber Gambar: MHC