BEBERAPA perubahan berkaitan Akta Majlis Sukan Negara (MSN) akan ditambah baik dalam memastikan ianya lebih bersifat semasa, menjadi antara visi Ketua Pengarah (KP) MSN, Abdul Rashid Yaakub, selepas beliau menerima kontrak baharu untuk terus menerajui badan pentadbiran sukan negara itu.
Menurut Abdul Rahid, usaha memulakan pindaan Akta MSN pernah dilakukan sebelum ini, namun terhenti di tengah jalan.
“Kita akan menjalankan usaha meminda beberapa prosedur operasi standard (SOP) dalaman bagi memudahkan lagi penyaluran peruntukan kepada pihak persatuan sukan kebangsaan (PSK) dalam melaksanakan program pembangunan sukan termasuk podium, pelapis kebangsaan, bakat dan sebagainya,” kata Abdul Rashid, ketika ditanya mengenai misi dan visinya selepas dilantik secara kontrak sebagai KP MSN, selepas mencapai usia persaraan wajib.
Terdahulu, pada Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan di MSN, Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan bahawa Abdul Rashid dilantik meneruskan tugasnya sebagai KP MSN secara kontrak selama setahun.
“Beliau telah mendapat kontrak untuk meneruskan tugasannya. Kita harap beliau terus bersama-sama kita membangunkan MSN, melaksanakan pembaharuan atlet dan jurulatih dan kontraknya bermula April tahun ini hingga April tahun hadapan,” kata Hannah.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai usaha pembaharuan yang akan dilakukan, Abdul Rashid berkata, beberapa pindaan akta akan turut disemak terutamanya perkara melibatkan peruntukan yang disalur kepada PSK.
“Kita akan pastikan penyaluran peruntukan daripada MSN kepada persatuan, boleh diaudit MSN.
“Kedua, kita akan wujudkan perjanjian atara MSN dan persatuan berkaitan peruntukan yang kita salurkan.
“Ketiga, kita akan memohon agar persatuan membuka satu akaun berasingan bagi menyalurkan apa-apa bantuan daripada kerajaan, supaya memudahkan kita mengawal selia dan memantau peruntukan-peruntukan yang diberikan kerajaan kepada PSK,” ujar Abdul Rashid.
Menurutnya, pindaan itu juga penting berikutan Akta MSN sudah cukup lama sejak 1971 lagi.
Biarpun masih relevan, namun banyak pembaharuan sudah berlaku dalam sukan negara termasuk kewujudan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM): “Kita mahu merangkum semua stake holder, dari segi peraturan berkaitan pentadbiran dan kewangan, jadi (akta) perlu dikemaskini.”
Selain itu, beliau tidak menafikan pelantikannya sebagai KP MSN secara kontrak, sebagai usaha memastikan program Olimpik Paris berjalan lancar.
“Itu antara perkara utama, rasanya tidak elok menukar pemimpinan dengan kehadiran dua Temasya Olimpik dan Paralimpik pada Julai dan september.
“Persiapan akhir sangat penting… banyak persiapan sudah dilakukan cuma sebahagiannya belum maksima dan amat penting untuk kita menyediakan atlet dan jurulatih yang terbaik di peringkat tertinggi dunia itu,” katanya.
November tahun lalu, Abdul Rashid yang memegang jawatan Timbalan Ketpua Pengarah (Pengurusan) MSN, dilantik sebagai KP menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bersara wajib pada 28 September.
Kemudian beliau mencapai usia bersara wajib 1 April lalu dan KBS memutuskan untuk melanjutkan peranan beliau menerajui MSN sehingga April tahun hadapan.