FOTO : BBC
SERAMAI 53 orang ditangkap polis semasa menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang diadakan di Stadium Wembley, London, England pada Ahad.
Selepas perlawanan, Polis Metropolitan London mengeluarkan kenyataan berhubung keselamatan untuk perlawanan akhir. Menurut BBC, 53 orang telah ditangkap semasa acara itu.
Mereka kebanyakannya ditahan kerana cuba memasuki stadium tanpa tiket. Manakala lima orang ditahan kerana menceroboh padang permainan.
Jurucakap Polis Metropolitan berkata kebanyakan penonton yang cuba memecah masuk stadium tidak berjaya.
“Video yang berlegar dalam talian menunjukkan kumpulan orang berlari ke arah pintu masuk tetapi tidak selalu berjaya memasuki stadium. Terdapat beberapa tahap keselamatan selanjutnya selepas pintu masuk,” katanya.
“Acara sukan utama sering menarik minat mereka yang tidak mempunyai tiket cuba melepasi pagar atau pintu masuk. Terdapat operasi yang mantap untuk menyokong keselamatan Wembley, dan pegawai telah bekerjasama rapat dengan pengawal dan kakitangan stadium untuk menjaga keselamatan di seluruh kawasan,” jelas seorang jurucakap polis.
Pitch invader did the "SIUUU" at Wembley. Ronaldo's legacy forever remains. 🐐 pic.twitter.com/N3rgklqA1j
— Dr Yash (@YashRMFC) June 1, 2024
Perlawanan akhir Liga Juara-Juara telah diganggu oleh penceroboh pada permulaan permainan, sejurus selepas sepak mula. Bagaimanapun, tiada sebarang gangguan yang ketara berlaku selepas itu.
Real Madrid muncul sebagai pemenang dalam perlawanan akhir. Anak buah Carlo Ancelotti menewaskan Borussia Dortmund 2-0 menerusi jaringan Dani Carvajal dan Vinicius Junior.
Wakil Liga Sepanyol itu kini telah mengumpul 15 trofi Liga Juara-Juara.