SELEPAS sekian lama tenggelam dalam bayang, skuad wanita B-20 negara akhirnya berpeluang untuk menebus maruah apabila Malaysia diumumkan sebagai tuan rumah bagi pusingan kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026, satu perkembangan yang membuka lembaran baru buat bola sepak wanita tanah air.

Dalam laporan terbaharu oleh ASEAN Football, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memilih lapan negara untuk menjadi tuan rumah pusingan kelayakan termasuk Malaysia, China, Vietnam, Laos, Bhutan, Tajikistan, Myanmar dan Uzbekistan.

Perlawanan Antarabangsa Tier 2 Malayan Tigress B-20 | Khamis, 2 Mac 2023 MALAYSIA 🇲🇾 3-0 🇲🇳 MONGOLIA

Malaysia pernah mencipta sejarah apabila layak ke kejohanan ini dua kali berturut-turut pada edisi 2004 dan 2006. Namun, sejak itu prestasi skuad Srikandi muda negara terus merosot, termasuk kegagalan menamatkan saingan di tempat tercorot Kumpulan G pada edisi kelayakan 2024.

Dengan cabutan undian bakal berlangsung pada 28 April ini, peluang kini terbuka luas untuk skuad wanita B-20 memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

Perlawanan Antarabangsa Tier 2 Malayan Tigress B-20 | Khamis, 2 Mac 2023 MALAYSIA 🇲🇾 3-0 🇲🇳 MONGOLIA

Lebih menarik, Thailand sudah pun mengesahkan slot automatik ke kejohanan selaku tuan rumah Piala Asia B-20 2026, sekali gus memberi ruang tambahan buat pasukan lain dalam kalangan ASEAN untuk mencabar.

Kini, semua mata tertumpu kepada barisan kejurulatihan dan pemain yang akan menggalas cabaran negara. Ini bukan sekadar peluang untuk layak, tetapi juga pentas kebangkitan bola sepak wanita Malaysia di mata Asia.

 

PIX: FAM