SKUAD taekwondo Hypermax Malaysia, membuat kejutan apabila membawa pulang 12 pingat emas, 9 perak dan 8 gangsa di Kejohanan Taekwondo Terbuka Bandar Phuket 2025, semalam.
Aksi cemerlang di Phuket Sport City itu menyaksikan anak-anak muda berusia tujuh hinga 17 tahun dari akademi Hypermax menguasai dua kategori utama, Kyorugi dan Poomsae.
Ketua jurulatih, Faiz Safry berkata, kemenangan itu hasil disiplin tinggi dan semangat luar biasa yang ditunjukkan sejak awal tahun.
“Mereka bangun seawal jam 5 pagi untuk latihan, dan tak pernah sekalipun mengeluh,” katanya, ringkas menerusi perkongsian kenyataan media.
Menurutnya, setiap atlet berlawan dengan jiwa besar dan semangat patriotik yang menyala membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Faiz turut menekankan peranan ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan sepanjang persiapan kejohanan.
“Hypermax bukan hanya tempat belajar taekwondo, tapi kami lahirkan pejuang negara yang bermentaliti juara.”
Kejayaan ini bukti jelas bakat tempatan mampu menyerlah asalkan diberi peluang, latihan tersusun dan sokongan berterusan.