UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) telah bersedia untuk mengekalkan kejuaraan kali keenam berturut-turut pada Karnival Sukan MASUM 2024 untuk fasa 1 dan fasa 2 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Timbalan Naib Canselor UiTM (HEP), Mohd Sazili Shahibi berkata, para atlet UiTM telah membuat persiapan yang sangat rapi menjelang MASUM fasa 1 yang akan bermula hujung April ini.
Tambah beliau, para atlet telah mengambil kesempatan untuk menjalani sesi latihan sebelum tiba bulan Ramadhan lagi, dan diteruskan sepanjang bulan Ramadhan tanpa gagal.
“Mereka telah menunjukkan semangat yang tinggi dengan menjalani latihan di sepanjang bulan Ramadan tanpa gagal. UiTM memang sedia maklum Karnival sukan MASUM fasa 1 akan diadakan seawal bulan Syawal dan kekangan yang dihadapi oleh para atlet adalah mereka semua menjalani sesi pembelajaran secara atas talian pada bulan Ramadan di rumah.
“Oleh itu, UiTM mengambil inisiatif untuk menyediakan penginapan atlet di UiTM bagi memudahkan para atlet tinggal di UiTM dan menjalani latihan di sini sambil belajar secara atas talian di UiTM,” kata beliau.
Dengan kekuatan seramai 96 orang atlet, UiTM akan mula bertanding di Karnival Sukan MASUM 2024 fasa 1 yang bertempat di Universiti Malaysia Sabah pada 22 sehingga 28 April 2024.
Seterusnya, MASUM fasa 2 pula akan bersambung di Universiti Malaya pada 6 sehingga 12 Mei 2024.
Sebagai rekod, UiTM telah menjadi juara Karnival Sukan MASUM buat kali kelima berturut-turut sejak tahun 2018 lagi. Pastinya untuk tahun ini, mereka akan kembali dengan semangat baharu untuk mengekalkan kejuaraan yang sudah dimiliki mereka setelah sekian lama lagi.