Manchester City terus memberi tekanan kepada Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Crystal Palace 3-0 di Stadium Etihad awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola kini hanya dibezakan dua mata di belakang Arsenal dengan baki dua perlawanan musim ini.
City tampil dominan sejak awal permainan meskipun Guardiola melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama termasuk merehatkan Erling Haaland dan Jeremy Doku di bangku simpanan.
Pasukan tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-32 menerusi Antoine Semenyo hasil gerakan menarik dimulakan Phil Foden sebelum pemain itu melepaskan rembatan kemas menewaskan Dean Henderson.
City kemudian menggandakan kelebihan lapan minit selepas itu apabila Omar Marmoush menyempurnakan hantaran Foden untuk jaringan kedua pasukan.
Walaupun Palace cuba bangkit menerusi beberapa serangan balas pantas, benteng City kekal ampuh untuk mengekang ancaman pelawat.
Pada penghujung permainan, Savinho melengkapkan kemenangan bergaya City selepas menyudahkan gerakan pantas Rayan Cherki untuk gol ketiga pasukan.
Perlawanan itu turut menyaksikan John Stones menerima sorakan gemuruh penyokong tuan rumah selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam apa yang dipercayai antara aksi terakhirnya bersama City di Etihad.
Kemenangan tersebut meletakkan City dengan 77 mata dan terus mengekalkan tekanan ke atas Arsenal yang masih memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.
City kini bakal mengalihkan tumpuan ke aksi final Piala FA menentang Chelsea hujung minggu ini sebelum menamatkan kempen liga bertemu Bournemouth dan Aston Villa.
Sumber Gambar: FB Man City