KETUA Pengarah Penyiaran Malaysia, Ashwad Ismail memaklumkan perbelanjaan kerajaan bagi mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026 adalah paling minimum berbanding edisi terdahulu.

Menurut beliau, kejayaan mendapatkan hak penyiaran itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik bersama sektor korporat dan rakan penyiar rasmi.

“Perbelanjaan kerajaan adalah paling minimum, malah jika dibandingkan dengan Piala Dunia 2022 edisi lalu.

“Selebihnya adalah tajaan daripada tiga penaja utama kita,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pengumuman penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Ashwad Ismail

 

Pada majlis sama, Unifi, CelcomDigi dan U Mobile diumumkan sebagai penaja rasmi siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.

Terdahulu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.

Ashwad berkata kesemua 104 perlawanan kejohanan tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV bermula dari aksi pembukaan hingga final.

RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda menerusi platform MyTV dan aplikasi RTM Klik.

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan perubahan trend tontonan semasa yang lebih tertumpu kepada kandungan digital dan video atas permintaan (VOD).

RTM juga akan menerbitkan program Grandstand dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bermula dari peringkat suku akhir hingga final.

Ashwad memaklumkan hampir 150 petugas produksi, teknikal dan tenaga kreatif RTM akan terlibat sepanjang liputan Piala Dunia dari 12 Jun hingga 20 Julai depan.

Beliau turut mengesahkan acara tontonan umum atau viewing party akan dianjurkan bersama komuniti dan rakan media sempena aksi pembukaan kejohanan itu.