PARA penyokong Bangladesh ternyata teruja dengan kehadiran barisan bola sepak mereka ke Malaysia dan ramai daripada mereka yang sanggup berhabisan demi menyokong pasukan kesayangan.
Mereka yang ditemui FLASH SUKAN di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan Bangladesh menentang Bahrain kelihatan gembira untuk bergambar dan berkongsi cerita bersama.
Kehadiran mereka ke stadium juga dijadikan medan untuk bertemu rakan-rakan senegara selain beramah mesra antara satu sama lain sekaligus menimbulkan kemeriahan di stadium ini.
Salah seorang penyokong yang ditemui, Aslam Mohamad yang bekerja sebagai penyelia pembersihan di Bukit Rimau berkata dia sudah membeli tiket kombo sejak awal lagi.
“Saya sudah beli tiket kombo awal dan akan datang setiap perlawanan Bangladesh terutama menentang Malaysia pada 14 Jun nanti. Saya datang ke stadium ini selepas habis kerja demi pasukan kebangsaan saya,” ujarnya yang menunggang motosikal ke Bukit Jalil.
Seorang lagi penyokong, Jawhar Siddique hadir ke stadium bersama rakan-rakan dan sanggup mengambil cuti untuk menjadi sebahagian daripada penyokong Bangladesh.
“Saya datang dengan rakan-rakan dari Damansara. Kami ambil cuti demi sokongan kepada Bangladesh. Bola dulu baru kerja dan kami juga beli tiket kombo,” katanya yang berkerja di salah sebuah stesen minyak.
Turut berkongsi kegembiraan adalah Rokibul yang hadir dengan membawa sepanduk yang menyatakan beliau rindu kepada ibu dan keluarganya di Bangladesh namun terlalu malu untuk ditemubual.
Perkara-perkara inilah yang membawa keceriaan dan kegembiraan dalam menyokong bola sepak. Ianya bukan hanya dianggap hiburan tetapi dianggap kebanggaan buat sesebuah negara.