BADAN induk sepak takraw Malaysia kini tampil lebih berpengaruh apabila menggunakan nama persekutuan di pangkalnya.
Perubahan itu dibuat selepas pindaan perlembagaan PSM diluluskan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).
Menurut satu kenyataan dikeluarkan badan induk sukan itu, mulai 10 September 2025, mereka akan dikenali sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berbanding Persatuan Sepaktakraw Malaysia sebelum ini.
Bagaimanapun, singkatan rasmi PSM dan logo yang sedia ada dikekalkan tanpa sebarang perubahan. 
“Sehubungan dengan itu, PSM akan dikenali sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM),” jelas Setiausaha Agung, Datuk Abidullah Haji Salleh.
Langkah ini diyakini mampu menambah kredibiliti serta nilai profesionalisme pentadbiran sukan sepak takraw negara.
Dengan pengiktirafan baharu itu, PSM kekal sebagai badan tunggal yang mengurus, membangun dan menentukan hala tuju sepaktakraw di Malaysia.