KETUA jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain, jelas kecewa dengan keputusan itu namun tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya. Menurutnya, para pemain telah berikan segalanya walaupun berdepan situasi sukar di padang yang berat selepas hujan lebat.

Harapan Malaysia U23 untuk mara ke Piala Asia B-23 2026 berkecai selepas tunduk 1-2 kepada Thailand hasil jaringan pada minit terakhir perlawanan kelayakan kumpulan, kekalahan ini menjadi satu lagi episod duka selepas skuad muda negara turut tewas dengan cara sama ketika menentang Lubnan sebelum ini.

“Pertama sekali, tahniah kepada Thailand. Saya bangga dengan pemain kerana kami mencipta banyak peluang. Sayangnya, satu kesilapan pada minit akhir telah menghukum kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Nafuzi menjelaskan keadaan padang banyak mempengaruhi corak permainan. Malaysia yang biasanya gemar membina serangan dari bawah terpaksa menukar pendekatan kepada permainan “direct football” kerana risiko terlalu tinggi untuk mengawal bola di kawasan sendiri.

Walaupun kecewa dengan kekalahan, Nafuzi menegaskan pasukan muda ini menunjukkan peningkatan positif berbanding aksi sebelum ini termasuk di Piala Mandiri di Jakarta. Beliau percaya pengalaman berdepan pasukan berkualiti seperti Thailand akan menjadi bekalan berharga untuk persiapan menuju Sukan SEA.

“Kebanyakan pemain ini masih muda. Mereka belajar banyak perkara di sini. Kami bermain lebih baik berbanding sebelum ini, tapi kami masih perlu bekerja keras dan elak yang sama,” ujarnya.

Di akhir temu bual, Nafuzi tidak lupa menyampaikan penghargaan buat peminat bola sepak tanah air.

“Terima kasih atas sokongan anda semua. Walaupun kita gagal mara, pemain telah berikan segalanya. Kami akan belajar daripada pengalaman ini dan kembali lebih kuat,” katanya.