RAJA libas Sepak Takraw negara, Adnan Saidin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar, pagi Subuh tadi akibat masalah kesihatan.
Baru-baru ini, Allahyarham dilaporkan dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar kerana mengalami sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Bekas ketua pasukan negara dari 1980 hingga 1986 dan Kedah, 1976 hingga 1992 itu telah bersara daripada tugas di sebuah syarikat utiliti negara dan mempunyai enam anak.
Terkenal dengan libas pari di posisi apit kiri, Adnan kerap bergandingan dalam regu negara dan Kedah dengan Shukri Ismail selaku apit kanan atau pengumpan dan Azman Ismail selaku tekong.
Bersama negeri Jelapang Padi, mereka juga pernah menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan pada tahun 1981, 1985, 1986 dan 1987.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan Allahyarham meninggal dunia ketika waktu Subuh.
Laporan awal menyebut, semalam Allahyarham Adnan dikatakan mengalami pendarahan dalam kepala.
Anaknya Mohd Faizal Adnan, 38, berkata Allahyarham bapanya itu mula dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta sejak seminggu lepas kerana disyaki menghidap tibi, sebelum dirujuk ke HSB semalam kerana mengalami masalah pada jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.