PENYOKONG skuad kebangsaan pastinya teruja untuk kembali ke stadium selepas dua setengah tahun dan aksi skuad Kim Pan-gon menentang Brunei pada Jumaat tentunya menjadi tumpuan.

Pan-gon akan menjalani aksi sulung di hadapan penyokong Harimau Malaya dengan peminat tempatan pastinya mahu menyaksikan aksi terbaik selepas aksi kurang meyakinkan pada Kejohanan Tiga Penjuru di Singapura, Mac lalu.

Bercakap kepada media ketika majlis Rumah Terbuka Hari Raya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih Korea Selatan itu jelas mempunyai idea untuk memberikan sesuatu kepada para penyokong.

 

“Apa yang penting bagi kami adalah untuk tidak melihat kemenangan dalam satu perlawanan sahaja. Kami mahu lakukan mengikut cara Malaysia dengan DNA Malaysia dan cuba mencipta filosofi skuad kebangsaan.

“Kami sedang bekerja keras untuk mengubah karektor skuad kebangsaan. Kami mahu memberikan sesuatu yang positif kepada penyokong. Bola sepak bukan hanya tentang memenangi atau tewas sesuatu perlawanan, kami mahu penyokong gembira dengan cara permainan kami.

“Pasukan kebangsaan juga tidak boleh menjanjikan kemenangan pada setiap perlawanan tetapi apa yang penting kami akan tunjukkan semangat dan cuba mengawal perlawanan. Apa juga keputusan, kita perlu bersatu dan semangat ini adalah sesuatu yang boleh kita banggakan. Ianya lebih pentiny dari memenangi satu perlawanan sahaja.

Pan-gon,53, mengambil alih tampuk kejurulatihan skuad negara  daripada Tan Cheng Hoe pada Februari lalu dan kini dalam proses mengembalikan semula kegemilangan skuad kebangsaan dan aksi Kelayakan Akhir Piala Asia akan menjadi medan ujian terbesar buatnya.