SKUAD hoki kebangsaan berjaya layak ke Piala Dunia Hoki 2023 selepas muncul juara Kumpulan B dan dibantu India yang berjaya menewaskan Indonesia 16-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta.
India memerlukan kemenangan dengan kelebihan 16 gol bagi memintas Pakistan ke peringkat Super Four mengasak habis-habisan ke kubu tuan rumah dan tidak mampu menahan untuk akur dengan kekalahan 16-0.
Malaysia pula berjaya membenam cabaran Bangladesh 8-1 dengan Razie Rahim dan Faizal Saari berjaya meledak hatrik manakala Najmi Jazlan dan Ashran Hamsani berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.
Razie Rahim membuka tirai jaringan pada minit ketiga menerusi penalti stroke sebelum menggandakan kutipan pada sepuluh minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.
Bangladesh berjaya merapatkan kedudukan pada awal suku kedua menerusi jaringan Ashraful Islam sebelum Faizal Saari menjaringkan dua gol pada minit ke-23 dan 30 sebelum Razie Rahim melengkapkan hatriknya untuk menjadikan kedudukan 4-1 sehingga tamat babak pertama.
Dua gol lagi berjaya dihasilkan pada suku ketiga menerusi gol padang Faizal Saari dan pukulan sudut penalti Najmi Jazlan. Faizal berjaya mendapatkan hatrik sebelum Ashran Hamsani melengkapkan gol kelapan pada suku keempat seminit sebelum perlawanan tamat.
Kejayaan India menyaksikan Malaysia layak ke Piala Dunia tiga kali berturut-turut selepas berjaya melakukannya pada 2014 dan 2018.
Sementara itu, Ketua Jurulatih, A.Arul Selvaraj berkata misi utama untuk layak ke Piala Dunia Hoki 2023 sudah pun tercapai dan kini fokus ditujukan kepada memenangi Kejohanan Piala Asia ini.
“Langkah pertama iaitu untuk layak ke Piala Dunia 2023 sudah pun tercapai dan sasaran kami yang seterusnya adalah untuk memenangi kejohanan ini. Saya mahukannya, pemain mahukannya dan kami akan berikan segalanya buat Malaysia untuk muncul juara,” kata Arul yang turut berada di stadium menyaksikan perlawanan penentuan India dan Indonesia.