DUNIA tinju dikejutkan dengan pemergian bekas jaguh Britain, Ricky Hatton yang ditemui meninggal dunia di kediamannya di Gee Cross, Greater Manchester pada Ahad. Polis Greater Manchester (GMP) mengesahkan penemuan mayat tersebut sekitar jam 6.45 pagi dengan kematian tidak diklasifikasikan sebagai mencurigakan.

Hatton, 46, yang baru beberapa bulan lalu mengumumkan hasrat kembali ke gelanggang dengan perancangan beraksi Disember depan, meninggalkan legasi besar sebagai salah seorang peninju paling popular di Britain.

Legenda yang digelar “The Hitman” itu mula mencuri tumpuan selepas mengekalkan rekod bersih 43-0 sebelum tewas buat kali pertama kepada Floyd Mayweather pada 2007. Kariernya turut dihiasi pertemuan berprofil tinggi menentang Manny Pacquiao serta beberapa juara dunia lain.

Kali terakhir Hatton beraksi secara profesional adalah 13 tahun lalu di Manchester apabila ditumbangkan oleh Vyacheslav Senchenko. Sepanjang karier, beliau menutup rekod dengan 45 kemenangan dan tiga kekalahan, di samping merangkul pelbagai gelaran dunia serta kejuaraan peringkat domestik.

Pengiktirafan tertinggi turut diberikan kepadanya apabila Hatton dinobatkan sebagai Fighter of the Year pada 2015, selain dilantik ke International Boxing Hall of Fame pada 2024 – bukti betapa besarnya pengaruh dan jasa beliau dalam arena tinju.

Pemergian Hatton meninggalkan kehilangan besar buat dunia sukan, khususnya buat peminat yang pernah melihatnya menjadi ikon rakyat Britain di gelanggang, berjuang dengan penuh hati dan semangat hingga ke penghujung kariernya.