HANYA S. Sivasangari terus mengibarkan cabaran negara apabila mara ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Terbuka Mesir di Kaherah, manakala rakan sepasukan lain terkandas awal.

Pemain berusia 26 tahun dari Sungai Petani, yang kini menghuni ranking kelapan dunia mudah menyingkirkan wakil tuan rumah, Nour Heikal 13-11, 11-9, 11-5 dalam tempoh 29 minit.

Sivasangari bakal berdepan lawan dari England, Jasmine Hutton pada pusingan ketiga malam ini srkali lagi, selepas menewaskan pemain itu di suku akhir Klasik London minggu lalu.

Jika mara, peluang terbuka luas buatnya menuntut pembalasan menentang remaja sensasi Mesir, Amina Orfi yang menewaskannya di separuh akhir kejohanan sama.

Jurulatih kebangsaan, Sharil Shahidan optimis kelebihan berpihak kepada Sivasangari berdasarkan rekod kemenangan ke atas Hutton baru-baru ini.

S Sivasangari menepati ramalan sebagai pilihan ketujuh kejohanan.

“Jika bertemu Amina, saya yakin Sivasangari lebih bersedia kerana sudah membuat analisis perlawanan lalu dan kali ini dia amat bermotivasi untuk bangkit,” katanya.

Srmentara cabaran tiga lagi wakil negara, Ng Eain Yow, Rachel Arnold dan Aira Azman berakhir di pusingan kedua selepas tunduk kepada lawan masing-masing dari Mesir.