MUHAMMAD Faiq Masawi dan Lok Hong Quan menghadiahkan sorakan manis buat kem badminton negara apabila merangkul gelaran antarabangsa pertama mereka di Johor, semalam.

Pasangan muda berusia 19 tahun itu muncul juara berganda lelaki PETRONAS Malaysia International Series 2025 selepas menewaskan gandingan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Lee Sang Won.

Selaku pilihan utama, Faiq-Hong Quan bermula garang untuk meraih set pertama 21-16 sebelum lawan bangkit mencuri set kedua 21-19.

Namun ketenangan jelas memihak wakil negara apabila mereka memperkemaskan rentak di set penentuan untuk menoktahkan kemenangan 21-14 dalam masa hampir sejam.

Kejayaan itu sekali gus memadam hasrat Korea Selatan untuk menyapu bersih lima gelaran selepas menguasai semua empat acara lain.

Dalam final beregu campuran sesama Korea Selatan, Kim Jae Yeon-Jang Eun Seo menundukkan Noh Jin-seong-Ye Na-lee 21-8, 21-18.

Gelaran perseorangan wanita turut milik Korea Selatan menerusi Kim Seong Min yang menewaskan pemain Vietnam, Bui Bich Phuong 21-18, 15-21, 21-14.

Park Sang-yong kemudian menambah koleksi Korea Selatan selepas menewaskan bintang Indonesia, Christian Adinata 25-23, 20-22, 21-12, manakala Jang Eun Seo-Kim Yu Jung merangkul kejuaraan beregu wanita.