PASUKAN MotoGP milik Malaysia, RNF MotoGP Team berjaya mencatatkan keputusan positif pada hari kedua ujian rasmi MotoGP Winter Testing Sepang 2023 dengan mencatat masa kedua terpantas pada Sabtu.
Miguel Oliveira, mencatat masa 1 minit 58.839 saat ketinggalan 0.103 saat dibelakang pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin yang mencatatkan masa terpantas manakala Pol Espargaro dari pasukan GasGas Factory Racing Tech 3 di tempat ketiga.
Seorang lagi pelumba RNF MotoGP Team, Raul Fernandez pula di tempat keenam dengan catatan masa 1 minit 59.112 saat selepas melengkapkan 22 pusingan untuk hari ini.

Miguel Oliveira
Dalam ujian pramusim yang memasuki hari kedua di Litar Antarabangsa Sepang itu, para pelumba masih mencuba mencari keserasian dan ‘set up’ terbaik sebelum menghadapi musim sebenar yang bakal bermula pada penghujung Mac 2023.
Jorge Martin yang ditemui media selepas selesai sesi latihan berkata dia semakin selesa dengan jentera baru yang dirasakan semakin pantas dan dia juga gembira keran mencatat masa yang konsisten sepanjang dua hari ini.
“Saya bermula dengan tayar dari sesi semalam dan saya berjaya melakukan masa yang pantas dan selepas menukar kepada tayar baharu saya semakin pantas dengan masa yang konsisten dan saya juga berjaya melakukan masa yang sama seperti semalam dengan dua jentera yang berbeza.

Jorge Martin
“Saya mengalami luka yang agak besar apabila terjatuh di selekoh ketujuh tetapi saya tidak merasa begitu sakit dan berharap mampu untuk terus menunggang pada hari terakhir ujian esok dan saya semakin selesa dengan jentera baharu ini dan tidak sabar untuk berlumba,” katanya kepada media di Litar Antarabangsa Sepang.
Sesi ujian rasmi MotoGP Winter Testing Sepang akan bersambung esok dengan kesemua pelumba sekali lagi akan menguji jentera masing-masing bagi mendapatkan data kepada jurutera untuk menambahbaik kelajuan dan keseimbangan jentera pada hari terakhir ujian di Sepang ini.