Pengendali Kanada, Jesse Marsch mengakui peluang membimbing pasukan itu di Piala Dunia 2026 yang berlangsung di laman sendiri menjadi faktor utama beliau menerima tawaran mengendalikan skuad kebangsaan negara tersebut.
Bekas jurulatih Leeds United itu menyifatkan Piala Dunia sebagai pentas tertinggi dalam bola sepak dan peluang untuk mengharungi kejohanan berkenaan di hadapan penyokong sendiri merupakan cabaran yang sukar ditolak.
Marsch yang dilantik sebagai ketua jurulatih Kanada tahun lalu kini berpeluang mengemudi pasukan itu dalam misi memburu kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia.
Kanada sebelum ini pernah beraksi pada edisi 1986 dan 2022, namun gagal mengutip sebarang kemenangan dalam enam perlawanan yang diharungi.
Bagaimanapun, suasana kali ini berbeza apabila Kanada tampil dengan skuad yang lebih berpengalaman serta dibarisi beberapa pemain yang beraksi di liga-liga utama Eropah.
Menjelang aksi pembukaan menentang Bosnia dan Herzegovina, Kanada bagaimanapun menerima tamparan apabila bintang utama mereka, Alphonso Davies disahkan tidak dapat diturunkan akibat kecederaan hamstring.
Marsch memaklumkan keputusan pemeriksaan perubatan menunjukkan proses pemulihan pemain Bayern Munich itu berjalan dengan baik, namun belum cukup cergas untuk diturunkan dalam perlawanan pertama.
Ketiadaan Davies menyaksikan pemain tengah Los Angeles FC, Stephen Eustaquio diberikan tanggungjawab mengetuai pasukan sebagai kapten dalam aksi pembukaan tersebut.
Kanada berharap kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri mampu membantu mereka mencipta sejarah baharu dan memulakan kempen Piala Dunia dengan keputusan positif.
Sumber Gambar: Facebook/Canada Soccer