SABAH FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Bandaraya apabila beraksi cemerlang menewaskan Penang FC, 4-2 pada aksi Liga Super

Penang FC dikecewakan ketumpulan penyudah untuk memenangi perlawanan meskipun bermula dengan cukup baik dengan tiga peluang terbaik untuk mendahului dalam 10 minit pertama perlawanan.

Faizat Ghazali mempunyai dua peluang keemasan pada minit kelima dan ketujuh tetapi gagal menewaskan Khairul Fahmi Che Mat walaupun sudah berhadapan satu lawan satu sebelum satu lagi hantaran lintang beliau gagal disudahkan barisan penyerang.

Kegagalan menyempurnakan peluang itu diambil kesempatan oleh Sabah apabila Saddil Ramdhani bijak menewaskan barisan pertahanan sebelum hantaran lintang beliau menemui Baddrol Bakhtiar untuk Sabah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Penang FC mengekalkan corak menyerang seperti di awal perlawanan dan akhirnya T.Saravanan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Namun begitu kegembiraan 1,065 orang penyokong Harimau Kumbang tidak kekal lama apabila Jackson De Souza menyambut cantik hantaran Sadil Ramdhani untuk gol kedua skuad Badak.

Gol itu ternyata menjadikan pertahanan Penang FC lebih kucar-kacir dan akhirnya mereka dihukum sekali lagi oleh Baddrol Bakhtiar dua minit kemudiannya dengan gol sepakan gunting yang cantik.

Belum sempat barisan pertahanan Penang FC membuat susunan semula, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mendapat gol keempat hasil jaringan Stuart Wilkin yang mudah menyambung bola muntah hasil percubaan Altemir Neto.

Hilal El Helwe berjaya merapatkan jurang dengan jaringan kedua Penang FC pada minit ke-76 selepas menerima umpanan lintang dari yang baik dari K.Thivandaran.

Penang FC kekal menyerang tetapi digagalkan kemantapan Khairul Fahmi untuk terus menunggu kemenangan pertama mereka dalam liga.