JURULATIH Kuching City FC, Aidil Sharin, mengakui pasukannya membuat beberapa kesilapan yang membawa kepada kekalahan 4-0 di tangan Selangor FC dalam perlawanan Liga Super malam tadi di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.
Jelas Aidil, gol-gol yang dibolosi adalah hasil dari kesilapan yang sukar dielakkan.
“Jika kita lihat gol pertama, ia adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam bola sepak,” katanya selepas perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Beliau juga menyentuh mengenai gol pertama yang disahkan selepas semakan VAR.
“Pertahanan kami cuba untuk mengeluarkan bola tetapi ia terkena pemain lawan dan saya tidak pasti sama ada ia handball atau tidak. Saya bukan orang yang sesuai untuk memberi komen tentang itu. Pengadil membuat keputusan dan kami sedikit tidak bernasib baik.”
“Gol kedua berlaku apabila kami kehilangan bola dan Selangor mengambil kesempatan untuk melakukan serangan balas. Gol ketiga pula hasil daripada sepakan set pieces yang baik, Selangor memang sangat kuat dalam situasi tersebut.
“Namun, gol keempat sekali lagi berpunca daripada kesilapan kami, di mana kami kehilangan bola dan mereka melakukan transisi dengan baik untuk menjaringkan gol,” ujarnya.
Aidil menegaskan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan perlawanan tersebut dan mengakui Selangor bermain dengan sangat baik.
Ditanya mengenai perlawanan seterusnya menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil menjelaskan bahawa JDT adalah pasukan besar dan kuat dalam liga.
“Perlawanan menentang JDT akan menjadi sangat sukar kerana mereka pasukan yang besar dan kuat di Malaysia. Kami kekurangan persiapan dari segi intensiti perlawanan, dan di situlah kita dapat melihat perbezaannya,” katanya.
Aidil juga menyatakan bahawa pasukan JDT telah mempersiapkan diri mereka dengan intensiti tinggi melalui perlawanan menentang pasukan kebangsaan Singapura dan kelab dari Thailand, yang meletakkan mereka dalam kedudukan lebih baik.
“Harapannya, perlawanan menentang JDT akan memberi inspirasi kepada pemain-pemain kami.
“Setiap kali kami menentang pasukan besar, kami cuba untuk bangkit dan bertarung. Namun, kami tiada perlawanan antara tempoh ini untuk membuat persediaan, dan ia juga merupakan perlawanan di tempat lawan.
“Tetapi kami akan berusaha yang terbaik. Kuching City adalah pasukan baru, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, dan kami akan cuba untuk menjadi lebih baik dari perlawanan ke perlawanan,” tambah Aidil.
Dengan semangat yang tinggi, Aidil berharap pasukannya dapat belajar dari kesilapan dalam perlawanan ini dan memperbaiki diri sebelum bertemu JDT dalam perlawanan yang akan datang.