PEMAIN sayap Terengganu FC, Muhammad Safawi Rasid bertekad untuk membuktikan sesuatu setelah diberi peluang untuk bermain bersama Sang Penyu musim 2024-2025 ini.
Safawi yang telah meraih kepercayaan daripada pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner yang melantik dirinya sebagai kapten pasukan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, ingin berjuang habis-habisan bersama pemain lain demi menaikkan nama Terengganu FC.
Tambah pemain kelahiran Dungun ini, selain meletakkan sasaran untuk mengumpul minit permainan, dirinya juga mahu hadir menjadi tunjang pasukan yang akan membantu mencanakkan lagi prestasi skuad Sang Penyu.

Safawi tekad untuk buktikan yang terbaik pada musim ini.
“Walaupun saya sudah lama tidak bermain, tetapi saya rasa di sini saya perlu buktikan sesuatu. Dengan kehadiran Akhyar Rashid, pemain baharu dan pemain lama, juga jurulatih yang membantu kami, saya rasa tahun ini kita akan dapat jadi yang terbaik.
“Ini waktu yang terbaik buat pemain-pemain muda dan juga pemain lama, termasuk diri saya sendiri untuk berjuang sehabisnya buat pasukan ini,” kata Safawi ketika ditemu bual oleh FLASH SUKAN.

Misi utama Safawi untuk pamerkan kekuatan sedia ada di hadapan jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
Sementara itu, Safawi juga menegaskan bahawa dirinya memandang positif akan kehadiran pemain-pemain import dan lokal baharu yang berjaya direkrut oleh Terengganu.
Bagi Safawi, pemain-pemain telah menunjukkan persaingan yang sihat sesama sendiri dan masing-masing mempunyai matlamat yang sama untuk memberi yang terbaik kepada pasukan.
“Bagi kami, kami hanya perlu berjuang dalam latihan dan beri yang sehabis baik. Selepas itu, coach pasti boleh memutuskan siapa yang bermain dan siapa yang tidak bermain,” ujarnya.
Artikel Berkaitan: Safawi mudah serasi taktikal Tomislav Steinbruckner