SESUATU yang menarik bakal disajikan kepada semua penyokong bola sepak tempatan apabila teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) bakal digunakan dalam semua perlawanan Liga Malaysia musim 2024-25.

Perkara ini menjadi satu perkembangan yang positif buat kemajuan bola sepak negara kerana sebelum ini mutu pengadilan oleh pengadil-pengadil tempatan sering dipertikaikan menerusi keputusan yang kurang tepat.

Musim ini Malaysian Football League (MFL) telah memperkenalkan penggunaan VAR dan apa yang menarik teknologi yang digunapakai adalah dalam bentuk VAR Mobile iaitu sistem yang boleh dipindahkan dari satu venue ke satu venue yang lain.

Liga Malaysia 2024-25 bakal menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR)

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan terdapat empat unit VAR Mobile akan digunakan musim ini dan penjadualan perlawanan sangat kritikal bagi memastikan logistik VAR Mobile dapat tiba di satu-satu venue tepat pada masanya.

Dengan enam perlawanan berlangsung pada setiap minggu, penggunaan empat VAR Mobile itu perlu dioptimumkan bagi memastikan kelancaran semua perlawanan terutama di Sabah dan Sarawak.

Ketika semua penyokong teruja dengan perkhabaran ini, soalan yang masih berlegar adalah mampukah teknologi VAR ini mampu mengatasi masalah mutu pengadilan yang membelenggu sebelum ini.

Contoh Mobile VAR yang digunakan di Indonesia

Dalam bola sepak, meskipun menggunakan VAR, tetapi teknologi ini hanya memberikan bantuan kepada pengadil dan segala keputusan akhir terletak kepada pengadil utama. Oleh itu latihan dan pengalaman perlu diberikan perhatian oleh jawatankuasa pengadil.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memastikan latihan berterusan dilakukan kepada semua pengadil yang mempunyai pentauliahan VAR selain merekrut lebih ramai pengadil baharu untuk diperkenalkan kepada teknologi ini.

Para penyokong juga semakin bijak dengan ramai yang memahami undang-undang permainan dan mungkin akan terus mengkritik keputusan pengadil walaupun sudah dibantu VAR.

Aksi pengadil sudah pasti jadi perhatian dengan kehadiran VAR

Penyokong juga perlu bersedia untuk menerima keadaan di mana tambahan masa akan menjadi lebih panjang yang mungkin mencecah belasan minit sekiranya banyak keputusan perlu dibuat menggunakan VAR.

VAR pastinya akan menjadi tarikan baharu buat bola sepak tempatan dan diharap dapat menambah mutu pengadilan dan juga keseronokan penonton untuk hadir ke stadium sekaligus meningkatkan nilai komersil Liga Malaysia ke suatu tahap yang lebih membanggakan.