KEJOHANAN Super Schools Rugby (SSR) 2026 terus menunjukkan perkembangan positif apabila menghimpunkan 44 pasukan dari seluruh negara, meningkat berbanding 40 pasukan pada edisi tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin berkata, kejohanan kali ini membabitkan tiga kategori utama iaitu 12 pasukan dalam Challenge Trophy, 16 dalam kategori Premier dan 16 lagi dalam kategori Academy yang melibatkan sekolah projek.
Menurutnya, kategori Premier menghimpunkan sekolah yang memiliki tradisi kukuh dalam sukan ragbi, manakala kategori Academy pula berperanan sebagai platform penting dalam pembangunan bakat baharu di peringkat akar umbi.
“Peningkatan jumlah penyertaan setiap kali penganjuran mencerminkan minat serta kesungguhan sekolah untuk tampil ke hadapan dalam sukan berkenaan, sekali gus memperluaskan kumpulan bakat pemain ragbi negara.
“Apabila kita tambah lebih banyak pasukan, kita dapat membuka peluang kepada lebih ramai pemain untuk menyerlah. Ini secara tidak langsung membantu memperkukuh pembangunan ragbi negara,” katanya selepas program Super Schools Rugby Kick Off Showcase 2026, semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu, SSR telah berkembang menjadi platform penting dalam memperkasa format permainan 15 sebelah.
Katanya, berbanding format tujuh dan 10 sebelah yang lebih pantas, permainan 15 sebelah memerlukan tempoh lebih panjang serta memberi ruang kepada pemain dengan pelbagai fizikal untuk menonjolkan kemampuan masing-masing.
Justeru, penganjuran SSR dilihat terus memainkan peranan signifikan dalam pembangunan ragbi negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk masa depan.