GANDINGAN beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai berjaya melunaskan misi balas dendam setelah menyingkirkan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man- Tse Ying Suet dalam pertarungan mendebarkan tiga set 22-20 16-21 21-18 dalam aksi Badminton Terbuka Singapura 2022, Jumaat.

Beregu campuran tersebut memiliki sebab tersendiri dalam menjadikan kejohanan kali ini sungguh bermakna. Ianya susulan rekod lepas menunjukkan mereka cemerlang di Terbuka Singapura pada 2018 dengan kejayaan merangkul kejuaraan HSBC Super 500 tersebut buat kali pertama.

Gandingan ke 15 dunia itu mengakui cabaran hebat hadir menerusi pasangan dari China dan Thailand namun yakin mampu menghadirkan sesuatu buat pasukan kebangsaan.

“Singapura sangat istimewa bagi kita. Di sinilah kami memenangi kejuaraan Super 500 pertama setakat ini. Untuk berlaku jujur, kami sedang cuba mengintai peluang menambah koleksi di Singapura.

“Tentunya ada cabaran terutama dari China dan Thailand, tetapi ianya satu tempat yang sangat baik kepada kita. Kita akan cuba sebaik mungkin dengan yakin dan harap berjaya meloloskan diri,” kata Jamie.

Sementara itu, Goh Soon Huat menjelaskan dia masih bergelut untuk kembali berada di prestasi sebenar serta memerlukan sedikit masa untuk berada di kemuncak persembahan.

“Ia mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula kecergasan. Badan saya tidak cergas 100 peratus namun semakin dekat sampai ke tahap yang dimahukan,” kongsi Soon Huat.

Kejayaan beregu tersebut membenam gandingan Hong Kong tersebut jelas merupakan kejayaan mara ke peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak meraih gelaran Terbuka Singapura pada 2018.

Cabaran getir bakal dihadapi gandingan tersebut esok (Sabtu) setelah dijadualkan bakal berdepan wakil No. 3 dunia dari Thailand, Puavaranukroh-Taerattanachai dalam aksi separuh akhir Badminton Terbuka Singapura 2022.