SEMANGAT juang dan rasa cinta kepada negara bukan sekadar hiasan kata-kata, ia adalah nadi utama dalam menggalas cabaran di pentas dunia, terutama dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Sudirman.
Itu penegasan Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang jelas kecewa dengan prestasi skuad negara yang terkandas di suku akhir Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, baru-baru ini.
Norza tidak berselindung apabila menyatakan bahawa dengan barisan yang ada, Malaysia sepatutnya mampu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir, seperti mana pencapaian edisi 2021 dan 2023.
“Apa yang kita miliki dari segi bakat, latihan dan kemudahan tidak kurang berbanding negara lain. Tapi satu yang jelas membezakan kita adalah semangat juang pemain, belum cukup untuk membawa nama negara ke tahap lebih tinggi,” katanya, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia selepas pengumuman penajaan skuad Sepak Takraw kebangsaan ke Piala Asia.
Terpesona dengan semangat juang pemain muda Indonesia, Alwi Farhan dan Putri Kusuma Wardani yang menunjukkan semangat luar biasa setiap kali turun ke gelanggang dalam kempen Piala Sudirman, berjuang habis-habisan demi maruah negaranya.
“Kalau kita lihat perlawanan pasukan Korea Selatan dan Indonesia, pemain mereka bertarung sampai jatuh tergolek untuk mendapatkan satu mata berharga. Mereka bermain bukan semata-mata untuk diri sendiri, tetapi demi negara.
“Itulah semangat yang kita mahu lihat. Semangat seorang pejuang yang sanggup ‘bermati-matian’ demi Jalur Gemilang,” tegas Norza.
Ironinya, Indonesia membawa dua pemain perseorangan lelaki belasan tahun, Alwi (19) dan Mohammad Zaki Ubaidillah (17) dan kedua-duanya membalas kepercayaan dengan prestasi mantap di gelanggang.
Artikel berkaitan: